JAKIM Teruskan Usaha Menyantuni Masyarakat Melalui Program Kerohanian
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menerusi Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), terus memperkukuh usaha menyantuni masyarakat melalui penganjuran Program Terapi Psikospiritual Islam (PTPI) Bagi Klien AADK Wilayah Persekutuan Siri 3/2026. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Masjid Salahuddin Al-Ayyubi (MSA), Taman Melati, Kuala Lumpur. Program yang berlangsung di Dewan Solat Utama MSA ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi MSA, YBhg. Datuk Ir. Haji Adanan bin Mohamed Hussain. Turut hadir ialah YBrs. Ustaz Mohd Rashidi bin Mohd Jamil mewakili Bahagian KSK JAKIM, YBrs. Ustazah Nurul Ameerah binti Mohd Sokeri daripada JAWI Foodbank, YBrs. Encik Mohd Padli bin Saidin daripada AADK Wilayah Persekutuan serta YBrs. Ustaz Mohd Ammar Naufal bin Mohd Anuar selaku Naqib MSA. Program ini melibatkan seramai 58 orang klien AADK Wilayah Persekutuan. Dalam ucapan perasmian, pihak MSA merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada JAKIM dan AADK atas kepercayaan memilih MSA sebagai tuan rumah program kali ini. Pihak masjid turut mengalu-alukan penganjuran program seumpama ini yang memberi manfaat kepada masyarakat serta memperkukuh peranan masjid sebagai institusi ibadah, pusat pembelajaran berterusan, pembangunan insan dan penyatuan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Program PTPI dimulakan dengan sesi tahsin Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh YBrs. Ustaz Jusrizalman bin Jamaluddin, Fasilitator KSK Care Centre. Program diteruskan dengan pelaksanaan solat sunat dhuha dan solat taubat yang dipimpin oleh Ustaz Amirul Syahmee bin Amir Hamzah, Timbalan Naqib MSA. Seterusnya, para peserta mengikuti sesi terapi zikir dan Ma’rifatun Nafs bersama Ustaz Jusrizalman. Selain itu, turut diadakan penyampaian sumbangan bakul makanan oleh pihak JAWI Foodbank kepada semua peserta yang hadir. Semoga penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan secara konsisten sebagai salah satu usaha berterusan dalam menyantuni masyarakat, khususnya klien AADK, agar mereka memperoleh bimbingan dan sokongan yang berterusan untuk kembali kepada fitrah serta seterusnya pulih sepenuhnya daripada gejala dadah.
25 May 2026, 04:31 PM